Simpang Pulai, 12 April 2025 – Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang Pulai kali ke-23 telah berlangsung dengan penuh jayanya pada hari Sabtu, 12 April 2025. Acara penting ini diadakan di dewan sekolah Ibnu Sina dengan kehadiran yang amat memberangsangkan daripada ibu bapa, guru, dan wakil komuniti tempatan.
Mesyuarat bermula pada jam 9 pagi dengan persembahan montage pelancaran logo Kumpulan Sokongan Ibu-Bapa (KSIB). En Baharuddin Bin Basro, Pengerusi PIBG menyampaikan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu terhadap aktiviti sekolah sepanjang tahun. Laporan kewangan dan aktiviti tahunan juga dibentangkan, memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan sekolah dan pencapaian pelajar.
Selain itu, mesyuarat turut diserikan dengan beberapa agenda penting termasuk perbincangan mengenai projek pendigitalan sekolah serta pelantikan ahli jawatan kuasa baharu untuk tahun berikutnya. Suasana mesyuarat begitu interaktif dengan ibu bapa dan guru memberikan cadangan serta pandangan yang membina.
Majlis diakhiri dengan sesi jamuan ringan sebagai tanda penghargaan kepada semua yang hadir. Acara cabutan bertuah turut menyerikan dan memeriahkan suasana. Mesyuarat Agung PIBG kali ini diharapkan akan terus memperkukuhkan kerjasama antara ibu bapa dan guru demi memastikan kecemerlangan pendidikan murid-murid SK Simpang Pulai.
Leave a Reply