Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya”. (Al-Kautsar: 1-3)
Hari Raya Aidiladha merupakan hari bersejarah yang menuntut umat Islam melakukan haji di Mekah di samping melakukan ibadah korban. Setiap kali tibanya musim haji, pasti akan mengimbau kembali detik-detik mencemaskan dan penuh perasaan pilu, iaitu kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s.
Tidak dapat digambarkan dengan perasaan, hatta walaupun seorang Rasul, apabila mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyembelih anak kesayangannya sendiri. Pastinya melakukan penyembelihan begitu sedih sekali tatkala pisau menekan leher Nabi Ismail a.s, yang meruntun kegelisahan hati terhadap darah daging sendiri. Namun, Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang insan terpilih yang diuji Allah SWT dengan ujian yang begitu berat hingga digelar salah satu Rasul ‘Ulul Azmi.
Segala perintah yang diutuskan perlu dilunaskan walaupun dengan bayaran nyawa, begitulah cinta dan kasihnya Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s kepada Allah SWT lebih daripada segala-galanya.
Tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun Hijrah, masyarakat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadah haji bagi mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menunaikan rukun Islam yang kelima. Sesungguhnya meraikan 10 terawal Zulhijjah dan hari ‘Iduladha adalah lebih besar dan bermakna pengertiannya berbanding hari raya ‘Idulfitri berikutan fadhilatnya yang cukup banyak.
Menurut Al-Hafiz Ibnu Nasir Al-Din Al-Dimasyqi di dalam buku beliau bertajuk Kelebihan 10 Terawal Zuhijjah dan Hari Arafah, diriwayatkan daripada Jabir ibn Abdullah, daripada Nabi s.aw. bersabda : “Tiadalah dari hari-hari yang lebih afdhal di sisi Allah daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah”. Juga dalil yang lain, daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Tiadalah dari hari-hari itu yang lebih suci, lebih dikasihi oleh Allah SWT, dan lebih besar kedudukannya daripada kebaikan yang diamalkan pada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah”.
Lantaran itu, Jawatankuasa Surau Al-Falah Kampung Merawan Indah tidak melepaskan peluang untuk menyertai Majlis Ibadah Korban bertempat di Perkarangan Surau Al-Falah , Kampung Merawan Indah, Perak pada 1 Julai 2023 bersamaan 12 Zulhijjah 1444H.
Sebanyak lima ekor lembu telah dikorbankan melalui sumbangan masyarakat awam yang melakukan ibadah tersebut.
Pengerusi Surau Al-Falah, Hj. Khairul Anuar Bin Sulaiman mengucap terima kasih kepada semua pertugas yang memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi. Majlis korban turut dibantu warga Bangladesh yang tinggal di kawasan sekitar. Bungkusan daging diedarkan kepada golongan asnaf dan semua penduduk Kampung Merawan Indah. Jawatankuasa Makanan turut membantu bagi penyediaan makanan kepada ahli jawatankuasa dan peserta. Semoga majlis ini dapat mengeratkan hubungan masyarakat setempat dan memupuk ukhwah persaudaraan sesama islam.
LINK VIDEO YOUTUBE
LINK ALBUM GAMBAR GOOGLE PHOTO
https://photos.app.goo.gl/r6yY99MdhfrgHnc28
LINK GAMBAR FACEBOOK
https://www.facebook.com/media/set?vanity=jinggojonggos&set=a.6979674442062151
LINK GAMBAR PIWAGO
https://sksp.edu.my/piwigo/index.php?/category/5
Leave a Reply