Simpang Pulai, 6 September 2024 – SK Simpang Pulai hari ini telah melancarkan Kempen Amalan Makanan Sihat yang bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang pentingnya pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat. Program ini disasarkan kepada semua murid dari tahun satu hingga tahun enam dengan harapan dapat membina kesedaran awal tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui pemakanan.
Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta beberapa badan kesihatan tempatan. Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang minggu, termasuklah ceramah kesihatan, bengkel penyediaan makanan sihat, serta kuiz interaktif mengenai piramid makanan dan nutrisi.
Guru besar SK Simpang Pulai, Encik Mohd Shariman Bin Idris, dalam ucapannya menegaskan, “Amalan pemakanan sihat harus dipupuk dari usia muda. Kita mahu murid-murid memahami betapa pentingnya memilih makanan yang berkhasiat agar mereka dapat membesar dengan sihat dan cergas.” Beliau turut menambah bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mengamalkan tabiat pemakanan yang baik di rumah.
Ceramah kesihatan yang disampaikan telah menarik perhatian murid kerana disulami dengan permainan kuiz interaktif menggunakan aplikasi Wheel of Names, A Duck Name Picker, dan Bouncy Balls. Murid yang berjaya menjawab soalan diraikan dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh tuan guru besar. En Mohd Afandi Bin Mohd Taib, Penolong Kanan HEM berharap program ini boleh dijadikan aktiviti rutin unit HEM dalam memupuk kesedaran pentingnya pemakanan yang seimbang dalam menjamin kesihatan yang sihat dikalangan murid-murid.
Murid-murid menunjukkan minat yang tinggi terhadap program ini. Seorang murid tahun empat, Habibah, berkata, “Saya seronok belajar tentang makanan sihat. Sekarang saya tahu kenapa kita perlu makan sayur dan buah setiap hari.”
Kempen Amalan Makanan Sihat ini dijangka akan berlangsung selama seminggu, dan pihak sekolah berharap ia akan memberi impak positif terhadap amalan pemakanan serta kesedaran kesihatan murid-murid di SK Simpang Pulai.
Leave a Reply