Bermula pada Mac 2020, pengurusan operasi sekolah menjadi lebih mencabar. Ini adalah kerana pada awal tahun 2020, negara dilanda wabak Covid-19. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, sekali gus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan. Penularan wabak COVID-19 yang melanda negara telah mengakibatkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah telah diarahkan tutup bermula pada 18 Mac yang lalu.
Sepanjang penutupan sekolah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan. PdPR bermaksud pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian. PdPR boleh dilaksanakan dalam talian dan/atau luar talian secara berstruktur dan terancang.
Selepas penularan wabak COVID-19 yang dilihat lebih terkawal susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, sesi persekolahan akan kembali dibuka dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi menjamin wabak COVID-19 ini tidak merebak di kawasan sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah di seluruh negara menjelang sesi persekolahan yang akan dimulakan kembali.
MODEL OPERASI SEKOLAH
Sesi persekolahan biasa SKDH adalah satu sesi sahaja. Bagi memudahkan pengurusan operasi sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan beberapa model untuk digunakan. Berdasarkan ruang terhad dan kapasiti murid yang ramai, SKDH memilih untuk menggunakan Model 2: Model Dua Sesi. Sesi persekolahan murid Tahun 5 dan Tahun 6 bermula pada 15 Julai 2020. Manakala bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 bermula pada 22 Julai 2020. Model ini digunakan sehingga akhir sesi persekolahan bersemuka 2020.
Pada tahun 2021, sesi persekolahan SKDH kembali kepada satu sesi. Bermula dengan PdPR pada 1 Januari 2021. Sesi persekolahan bersemuka bermula pada 1 Mac 2021. Pengurusan Operasi Sekolah dengan panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian Pelajaran Malaysia.
Pada 18 April 2021, sesi persekolahan kembali kepada PdPR. Kementerian telah menyediakan Manual PdPR utk dijadikan sebagai panduan guru-guru dalam memastikan murid-murid tidak terlepas peluang untuk belajar walaupun dalam keadaan negara yang dilanda wabak.